Today's verse~

"On the Day when their tongues and their hands and their legs shall bear witness against them as to what they were doing." [24: 24]

Aug 10, 2010

Si bisu ingin berkata-kata...

Assalamualaikum!

Aku tak tahu dari mana datangnya idea ni. Tapi, layankan je lah ye?

Alkisah, pada suatu zaman itu,(toyyib!) terdapat seorang lelaki sederhana yang sangat pendiam dan pemalu. Dia memang kurang sekali berkata-kata. Dia tinggal berdua bersama ibunya yang sudah tua. Ibunya bekerja sebagai peniaga buah anggur di sebuah pasar di tengah pekan. Hendak dijadikan cerita, pada suatu hari ibunya meminta dia menjaga gerai anggur itu berseorangan memandangkan pada hari tersebut berlaku kematian saudara dekat ibunya. Maka pemuda itu bersetuju tanpa banyak soal.

Di bandar, ramai penduduk keluar bersiar-siar dan membeli-belah kerana hari itu adalah hari Selasa, satu-satunya hari hujung minggu di zaman itu. Seperti yang dijangkakan oleh pemuda itu, jualan anggurnya pada hari itu sangat lumayan. Apabila tinggal satu sukatan terakhir stok buah anggurnya, datang seorang gadis untuk membeli anggur yang terakhir itu. Gadis itu tidak boleh bercakap. Bisu. Dia hanya menulis di atas kertas. Pemuda itu hanya menurut tanpa berkata-kata.

Gadis itu hairan lantas bertanya (melalui tulisan),

"Wahai pemuda, adakah engkau bisu sepertiku?"

Lantas pemuda itu menjawab, "Tidak."

"Kalau macamtu kenapa kamu tidak ketawakan aku? Kenapa kamu berdiam diri saja?"

"Kenapa aku perlu ketawakan kamu?"

"Biasanya setiap pemuda yang aku jumpa akan ketawakan aku dan mengejekku kerana bisu. Aku seringkali berasa sedih dengan nasibku yang bisu ini. Alangkah baiknya jika aku boleh bercakap."

Pemuda itu terus menjawab, "Tiada apa yang lebih teruk daripada lidah kita sendiri. Kerana lidah kita boleh binasa. Kamu patut bersyukur saja kerana tidak boleh bercakap."

"Kenapa kamu cakap macam tu? Teruk sangat ke lidah tu?"

"Jika kamu punyai kelapangan masa, mari aku bawa kamu berjalan di sekitar pekan ini memandangkan jualan anggurku dah habis."

Gadis itu hanya menurut. Dalam perjalanan itu, mereka berdua bertemu seorang makcik tua. Makcik itu kemudiannya berbual dengan pemuda itu. Makcik itu menceritakan tentang keburukan seorang fakir miskin yang meminta sedekah yang tinggal di tepi jalan tidak jauh dari tempat pemuda itu berniaga. Dengan semangatnya makcik itu menebarkan fitnah, serta menghina kedaifan peminta sedekah itu kepada pemuda tadi. Si pemuda dan gadis hanya berdiam diri dan mendengar.

Setelah selesai bebelan makcik tadi, mereka meneruskan perjalanan. Kali ini mereka terjumpa pula dengan seorang penyajak yang terkenal. Penyajak tersebut mendeklamasikan sebuah sajak yang memuji-muji seorang pemerintah kejam dan menyangkal kejahatan yang telah dilakukan oleh pemerintah itu. Dia juga menggunakan kata-kata indah yang dusta untuk menarik perhatian penduduk miskin yang tidak tahu-menahu tentang kejahatan yang telah dilakukan oleh pemerintah yang diperkatakan. Dia juga menyatakan yang pemerintah itu menjanjikan harta kekayaan kepada rakyat yang patuh akan arahannya. Ramai penduduk tertarik dengan syair itu. Tetapi pemuda dan gadis tidak berkata apa-apa dan berlalu dari kumpulan orang ramai itu.

Setelah penat berjalan keliling kota, mereka berdua berhenti rehat di sebuah gerai minuman yang dimiliki oleh seorang lelaki yang dikatakan sombong. Selesai mengambil pesanan minuman, tuan kedai tadi terus bertanya tentang pemuda itu,

"Anak siapakah kamu ini?"

Pemuda menjawab, "Aku anak Senah binti Hasan yang tinggal di kaki bukit di hujung pekan."

"Oh, anak Hassan si miskin itukah? Patut la baju kamu compang-camping saja. Anak si miskin rupanya. Kamu patut tinggalkan saja ibumu dan bekerja sebagai anak dagang di pelabuhan. Barulah nanti kamu akan jadi kaya sepertiku ini. Dulu aku juga meninggalkan ibubapaku yang miskin dan pergi mencari harta dan sekarang lihatlah diriku yang senang-lenang ini. Semua ini hasil titik peluhku sendiri. Kamu kena pakai sikit otak kamu tu untuk cari kesenangan, jangan biar sia-sia saja."

Si gadis yang mendengar terkulat-kulat sambil memandang si pemuda yang dari tadi kelihatan tenang dan diam saja.

Dalam perjalanan pulang, si pemuda tadi memulakan bicara, "Yang kamu lihat tadilah contoh manusia yang membinasakan diri dengan lidah mereka sendiri. Apabila sudah takde kerja lain yang nak dibuat, lidah itu digunakan untuk mengumpat dan mencerca keburukan dan kelemahan orang. Juga si penyair tadi yang berdusta kepada penduduk pekan. Lidah yang berharga itu digunakan untuk berdusta. Setelah dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, lidah berharga itu digunakan untuk bermegah-megah dengan diri sendiri dan merendahkan orang lain tanpa bersyukur kepada Tuhan yang memberi kesenangan kepadanya. Jadi, wahai gadis, masihkah kamu ingin berkata-kata?"

Maka si gadis itu menggeleng sambil berkata, "Jikalau aku boleh bercakap, aku mungkin akan lupa akan diri dan mungkin akan mensia-siakan nikmat berkata-kata itu ke arah keburukan. Oleh itu, biarlah aku tak boleh bersuara. Tiada siapa akan terluka dengan kata-kataku, dan semoga kuranglah dosaku daripada lidah. Semoga Tuhan menjaga hatiku supaya tidak menghina manusia di dalam hati."

Sekian, terima kasih. Wah, dah lama tak menulis cerpen. Harap korang enjoy baca ni walaupun aku rasa, situasi dalam cerita ni agak tipikal. Hehe. Sekadar renungan bersama.

p/s : Slogan cik K : Diam itu lebih baik. =)


kyaa! Sebastian-san!


No comments:

Related Posts with Thumbnails